Sunday, February 22, 2009

5 PERKARA ANEH



Bismillahirrahmanirrahim...

Abu Laits as-Samarqandi adalah seorang ahli fiqah yang masyur. Suatu ketika dia pernah berkata, ayahku menceritakan bahawa antara Nabi-Nabi yang bukan Rasul ada menerima wahyu dalam bentuk mimpi dan ada yang hanya mendengar suara.

Maka salah seorang Nabi yang menerima wahyu melalui mimpi itu telah diperintahkan Allah, "Esok engkau dikehendaki keluar dari rumah pada waktu pagi menghala ke barat. Sekiranya engkau lihat@hadapi sesuatu, maka:

1. Engkau makanlah
2. Engkau sembunyikanlah
3. Engkau terimalah
4. Jangan engkau putuskan harapannya dan
5. Larilah pula engkau daripadanya

Pada keesokan harinya, Nabi itu pun keluar dari rumahnya menuju ke baratdan kebetulan yang pertama dihadapinya ialah sebuah bukit besar berwarna hitam. Nabi kebingungan sambil berkata, "Aku diperintahkan memakan benda pertama aku hadapi, tapi sungguh aneh. Sesuatu yang mustahil yang tidak dapat aku laksanakan." Maka Nabi itu terus berjalan menuju ke bukit itu dengan hasrat untuk memakannya. Ketika dia menghampirinya, tiba-tiba bukit itu mengecilkan diri sehingga menjadi sebesar buku roti. Maka Nabi pun mengambilnya lalu disuapkan ke mulutnya. Bila ditelan terasa sungguh manis bagaikan madu. Dia pun mengucapkan syukur Alhamdulillah.

Kemudian Nabi itu meneruskan perjalanannya lalu bertemu pula dengan sebuah mangkuk emas. Dia teringat akan arahan mimpinya supaya disembunyikan, lantas Nabi itu pun menggali sebuah lubang lalu ditanamkan mangkuk emas itu, kemudian ditinggalkannya. Tiba-tiba mangkuk emas itu terkeluar semula. Nabi itu pun menanamkannya semula sehingga tiga kali berturut-turut. Maka berkatalah Nabi itu, "Aku telah melaksanakan perintahmu."

Lalu dia pun meneruskan perjalanannya tanpa disedari oleh Nabi itu, mangkuk emas itu
keluar semula dari tempat ia ditanam. Ketika dia sedang berjalan, tiba-tiba dia ternampak seekor burung helang sedang mengejar seekor burung kecil. Kemudian terdengarlah burung kecil itu berkata, "Wahai Nabi Allah, tolonglah aku." Mendengar rayuan burung itu, hatinya merasa simpati lalu dia pun mengambil
burung itu dan dimasukkan ke dalam bajunya. Melihatkan keadaan itu, lantas
burung helang itu pun datang menghampiri Nabi itu sambil berkata, "Wahai
Nabi Allah, aku sangat lapar dan aku mengejar burung itu sejak pagi tadi.
Oleh itu janganlah engkau patahkan harapanku dari rezekiku." Nabi itu teringatkan pesanan arahan dalam mimpinya yang keempat, iaitu tidak boleh putuskan harapan. Dia menjadi kebingungan untuk menyelesaikan perkara itu. Akhirnya dia membuat keputusan untuk mengambil pedangnya lalu memotong sedikit daging pehanya dan diberikan
kepada helang itu. Setelah mendapat daging itu, helang pun terbang dan
burung kecil tadi dilepaskan dari dalam bajunya.

Selepas kejadian itu, Nabi meneruskan perjalananya. Tidak lama kemudian dia bertemu dengan satu bangkai yang amat busuk baunya, maka dia pun bergegas lari dari situ kerana tidak tahan menghidu bau yang menyakitkan hidungnya. Setelah menemui kelima-lima peristiwa itu, maka kembalilah Nabi ke rumahnya. Pada malam itu, Nabi pun berdoa. Dalam doanya dia berkata, "Ya Allah, aku telah pun melaksanakan perintah-Mu sebagaimana yang diberitahu di dalam mimpiku, maka jelaskanlah kepadaku erti semuanya ini." Dalam mimpi beliau telah diberitahu oleh Allah S.W.T. bahawa:

1. Hal yang pertama itu diibaratkan seperti marah. Pada mulanya nampak besar seperti bukit tetapi pada akhirnya jika bersabar dan dapat mengawal serta menahannya, maka marah itu pun akan menjadi lebih manis daripada madu.

2. Hal yang kedua diibaratkan seperti semua amal kebaikan (budi), walaupun disembunyikan, maka ia tetap akan nampak jua.

3. Hal yang ketiga diibaratkan seperti amanah seseorang, maka janganlah kamu khianat kepadanya.

4. Hal yang keempat diibaratkan seperti semasa orang meminta kepadamu, maka usahakanlah untuk membantunya sedaya upaya.

5. Hal yang kelima diibaratkan seperti ghibah (menceritakan hal seseorang kpd org lain). Maka larilah dari orang-orang yang sedang duduk berkumpul membuat ghibah


Sahabat2 sekalian, kelima-lima kisah ini hendaklah kita semaTkan dalam diri kita kerana kelima-limanya amat berkait rapat dalam kehidupan kita sehari-hari. Misalnya, antara perkara yang tidak dapat kita elakkan setiap hari ialah mengata hal orang. Justeru, haruslah kita ingat bahawa dengan mengata hal seseorang itu akan menghilangkan pahala kita. Terdapat sebuah hadis mengatakan bahawa di akhirat nanti ada seorang hamba Allah akan terkejut melihat pahala yang tidak pernah dikerjakannya. Lalu dia bertanya, "Wahai Allah, sesungguhnya pahala yang Engkau berikan ini tidak pernah aku kerjakan di dunia dulu." Maka berkata Allah S.W.T. "Ini adalah pahala orang yang mengata-ngata tentang dirimu."

*Nasihat untuk diri sendiri dan sahabat2 sekalian...Wallahua'lam...

0 comments:


Template by:
Free Blog Templates